Sunday, December 28, 2008

Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Parlimen Bagan

Artikel oleh:
Musyrif Bin Abu Bakar
Ketua Pemuda UMNO Cawangan Jalan Naga

Pada 27 Disember 2007, penulis bersama-sama Ketua-Ketua Pemuda Cawangan Bahagian Bagan yang lain telah dijemput untuk menghadiri satu majlis penyerahan pakaian seragam sekolah. Majlis bertempat di perkarangan Wisma UMNO Bahagian Bagan, bermula selepas waktu Maghrib iaitu lebih kurang pukul 8.00 malam. Majlis ini telah diusahakan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bagan.

Pada majlis yang dipengerusikan oleh Encik Abdul Latiff Bin Majid ini, ucapan aluan-aluan telah diberikan oleh saudara Shaik Hussain Bin Mydin, selaku Ketua Pemuda Bahagian Bagan. Dalam ucapannya, beliau telah mengingatkan para hadirin bahawa satu ketika dulu sewaktu kecil, beliau pernah berada di tempat penerima bantuan seperti malam tersebut. Sedikit ucapan motivasi turut diselitkan untuk penerima-penerima bantuan agar terus berusaha dalam pelajaran dan seterusnya dapat menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.



Seterusnya, Yang Berbahagia Datuk Abdul Latiff Bin Mirasa, Ketua UMNO Bahagian Bagan telah dijemput untuk memberi sedikit ucapan dan seterusnya merasmikan majlis tersebut. Dalam ucapan beliau, dengan isi yang sama turut mengingatkan peranan ibu-bapa dan pelajar untuk terus berusaha untuk memajukan diri masing-masing. Selain daripada itu, keadaan politik semasa peringkat bahagian dan negeri turut diulas oleh beliau.


Setiap sumbangan adalah terdiri daripada:
  • beg sekolah - (Amanah Raya)
  • buku nota - (Amanah Raya)
  • pen - (Amanah Raya)
  • pakaian seragam sekolah rendah kanak-kanak lelaki/perempuan - (Amanah Raya)
  • Wang sumbangan RM50.00 Tunai - (Pemuda Bahagian Bagan)


Mengenai kriteria penerima sumbangan, setiap cawangan akan memilih 2 orang penerima yang layak mengikut pendapatan keluarga. Namun, sepanjang pemerhatian penulis, terdapat cawangan-cawangan yang gagal membawa penerima sumbangan ke majlis tersebut. Hal ini agak mengecewakan kerana masih terdapat kes 'terlepas pandang' seperti ini. Dan semestinya penerima yang layak di cawangan terbabit terpaksa berputih mata. Penulis berharap agar setiap cawangan dapat lebih aktif dalam hal-hal kemasyarakatan seperti ini, dan seterusnya dapat sama-sama membantu mereka yang memerlukan.

Penulis juga di sini mengucapkan syabas kepada AJK Pemuda Bahagian yang telah bertungkus-lumus dalam menyediakan kemudahan logistik dan makanan kepada tetamu pada malam tersebut. Semoga Allah SWT memberkati usaha yang telah anda lakukan, Insya-Allah.