Thursday, August 27, 2009

N11 Permatang Pasir

Dr Novandri Hasan Basri
Minda Intelek Melayu

Apakah kekalahan BN di Permatang Pasir memerlukan postmortem ?

Jawapannya tidak.

Postmortem di Permatang Pauh dan Permatang Pasir telah dilakukan 2 kali dalam tempoh setahun ini. Jika prosedur postmortem di hospital dilakukan banyak kali, berkemungkinan badan mayat itu hancur!

Jawapannya ada di depan batang hidung kita ini. Dan jika kepimpinan BN masih tidak mahu membuka mata dan berubah secara total, BN akan menghadapi masaalah di masa depan. Secara keseluruhannya, banyak perkara yang boleh dipelajari di Permatang Pasir.

1. Kajian geografikal pengundi setempat yang berulang-ulang di dalam tempoh yang dekat di antara satu sama lain juga menimbulkan persoalan, apakah BN meyimpan sebarang data base kajian setempat mereka selama ini?

Pilihanraya Umum ke-12 dan pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh tahun lepas sepatutnya telah menyediakan informasi dan data base yang lengkap tentang latar belakang pengundi-pengundi di Permatang Pasir kerana kedua-dua pilihanraya itu juga diadakan kajian tersebut.

Tetapi TIDAK.

Setiap kali pilihanraya, setiap kali itulah perlu ditanya dan dibanci penduduknya! Penulis faham jika tempoh jarak pilihanraya itu adalah 4 tahun tetapi dimanakah rasionalnya jika tempat itu menghadapi pilhanraya sebanyak 2 kali dalam tempoh yang sangat pendek dan bahagian tersebut masih tidak mempunyai info yang lengkap ?

Seperkara lagi, kenapakah isu pengundi-pengundi hantu yang signifikan jumlahnya di Permatang Pasir tidak di siasat dan diambil tindakan sebelum ini?

Apakah UMNO bahagian tersebut hanya mencari nama-nama pengundi dan menentukan kesahihan di tempat mereka apabila ada sesuatu pilihanraya?

Kenapakah UMNO bahagian tidak membuat kerja membersihkan nama-nama pengundi sebelum ini?

Apakah yang sebenarnya berlaku di SPR Permatang Pauh sehinggakan hampir 3000 pengundi dapat didaftarkan tanpa halangan?

Apakah ada orang dalam di SPR yang menyalahguna kuasa beliau dan dijadikan alat oleh parti pembangkang?

Sebenarnya banyak persoalan yang boleh dibangkitkan tentang struktur pilihanraya setempat dan BN pusat. Dan ramai juga yang akan berkata bahawa sessi menuding jari sesama sendiri sebagai punca kekalahan BN sedang berlaku.

Penulis menganggap sessi tersebut sebagai satu pendekatan yang sihat selagi pihak-pihak tersebut menerima kritikan-kritikan itu sebagai sesuatu yang positif dan membina. Pokoknya, yang lemah perlu dikuatkan dan yang kurang perlu ditambahbaikkan lagi.

2. Seperti yang penulis katakan sebelum ini, BN sedang berdepan satu tugas yang sangat berat di Permatang Pasir. Permatang Pasir di bawah parlimen Permatang Pauh begitu sinonim dengan Anwar Ibrahim dan juga merupakan kubu kuat parti PAS.

Adalah sangat sukar untuk menembusi kubu tersebut tanpa sokongan padu daripada penyokong-penyokong BN di tempat itu. Dan jika kepimpinan dan ahli-ahli cawangan di bahagian itu tidak mempunyai semangat untuk berjuang, BN akan gagal.

Situasi di Permatang Pasir boleh diandaikan dengan negeri Johor. Parti pembangkang amat sukar untuk menembusi kubu UMNO di sana. Ini adalah kerana rata-rata penduduk di Johor sudah kukuh dengan UMNO sejak dahulu lagi dan bangga dengan sejarah UMNO itu sendiri yang bertapak di negeri tersebut.

Makanya, sentimen kekitaan dan self belonging terhadap parti tersebut amat kuat di Johor seperti juga di Permatang Pasir.

3. Penulis pernah menulis di artikel sebelum ini (klik di sini ) tentang perlunya penglibatan yang lebih aktif dan sepenuhnya oleh jentera pilihanraya BN setempat dan mengurangkan bantuan daripada negeri-negeri lain. Segala bentuk kewangan akan disalurkan kepada mereka dan merekalah yang perlu berstrategi dan mencipta formula sendiri untuk menghadapi pilihanraya tersebut.

Dengan cara ini, jentera pilhanraya BN setempat akan dapat menimba ilmu dan bertambah matang serta mampu berdiri di atas kaki sendiri dengan pemantauan yang minimal oleh BN pusat.

Kaedah do it yourself ini secara tidak langsung akan dapat menyediakan jentera BN setempat berdepan dengan PRU-13 kelak. Tatkala itu, setiap bahagian perlu melakukan sendiri bukannya seperti di Permatang Pasir di mana semua negeri turun untuk membantu!